Pasaran saham di Malaysia melaksanakan kedua-dua jenis pasaran modal konvensional dan juga pasaran modal Islamik. Kelebihan melabur dalam pasaran saham di Bursa Malaysia adalah terdapatnya panel penasihat syariah yang akan sentiasa memantau aktiviti perniagaan sesuatu syarikat.
Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Suruhanjaya Sekuriti telah diberi mandat untuk membuat saringan sekuriti kesemua syarikat yang tersenarai di papan Bursa Malaysia dan mereka juga turut menyediakan Senarai Sekuriti Patuh Syariah. Jadi anda tak perlu ragu-ragu akan status pelaburan kerana anda hanya perlu memilih kaunter yang telah terbukti dijamin kepatuhan syariahnya.
Senarai Sekuriti Patuh Syariah ini diterbitkan kepada umum dua kali setahun iaitu pada akhir Mei dan November. Jadi, bagaimana caranya untuk kita melihat kaunter-kaunter yang patuh syariah di Bursa Malaysia ini?
Mari ikuti senarai di bawah dan anda akan dapati bahawa mudahnya untuk mengenal saham patuh syariah di Bursa Malaysia.
1. Daftar akaun CDS patuh syariah
Ini adalah langkah termudah sekali yang patut anda lakukan. Terdapat beberapa broker house yang menyediakan perkhidmatan ini.
Selepas mendapat akaun CDS, anda hanya akan dapat melihat kaunter-kaunter yang patuh syariah sahaja kerana ia menapis keluar kaunter-kaunter yang tidak patuh syariah.
2. Periksa tanda dalam trading platform
Ketika anda membuat carian kaunter di dalam trading platform, anda akan perasan terdapat saham yang di hujung namanya ada bertanda bulat kecil.
Contohnya, SUPERMX°.
Ini adalah tanda bahawa kaunter saham itu merupakan kaunter saham patuh syariah.
3. Semak di BURSAMKTPLC
Layari laman web www.bursamarketplace.com. Laman ini merupakan laman pembelajaran untuk para trader yang ingin bermula daripada kosong sehinggalah menjadi seorang trader professional.
Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan membuat pilihan ‘ON’ di bahagian Syariah Mode. Selepas itu, anda akan dapat melihat kesemua kaunter saham yang patuh syariah sahaja.
4. Tradingview Syariah Indicator
Tradingview Syariah Indicator merupakan salah satu aplikasi Google Chrome Extended. Ia boleh dipakai bersama dengan carta di dalam Tradingview (https://uk.tradingview.com/).
Apabila anda mengaktifkan indikasi ini, ketika memilih kaunter saham, anda akan dapat melihat lambing bulan dan bintang berwarna hijau di sebelah nama kaunter tersebut. Ini menandakan bahawa kaunter itu patuh syariah.
5. Guna aplikasi Islamicly
Islamicly ini hadir dalam bentuk aplikasi telefon pintar dan juga dalam bentuk lawan web untuk dilayari menggunakan komputer. Islamicly merupakan platform yang menawarkan pelabur runcit beragama Islam dengan maklumat yang tepat dan kajian yang berterusan untuk status saham patuh syariah yang didagangkan di seluruh dunia.
Mereka juga menyatakan bahawa aplikasi Islamicly adalah aplikasi pertama di dunia yang mendapat pengiktirafan aplikasi patuh syariah untuk saham sedunia. Disebabkan ia mampu menyaring kaunter seluruh dunia, maka kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia juga dapat dicari menggunakan platform ini.
Kesimpulan
Mudah bukan untuk mencari kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia ni? Sebagai umat Islam kita harus menyelamatkan diri daripada terjerumus dengan perkara yang haram. Elakkan kaunter yang tidak ada status patuh syariah kerana keberkatan rezeki itu adalah segala-galanya.